Saturday, July 11, 2009

Golongan Gugur di Jalan Dakwah

Konwanis 2009

Ucap Raya 3Pada tahun-tahun 1980an, mereka ke luar negara kerana ijazah (foto kecil), namun kembali membawa Risalah. Tidak ramai yang kekal berAmal Jamaiyy bersama organisasi-organisasi Islam hari ini. Setelah berusia, ramai lebih bersama keluarga dan karier.

Di tahun-tahun 1980an, ketika saya menuntut di Australia, gerakan Islam dikalangan pelajar Islam Malaysia di luar negara memuncak dengan dianggarkan 250 dari 2000 pelajar di Australia terlibat dalam usrah, 1500 dari 15,000 pelajar di Amerika dan seramai itu juga di United Kingdom. Angka ini saya pilih berdasar bilangan yang hadir dalam muktamar-muktamar tahunan yang diadakan di tiap satu negara, belum lagi mereka yang tak dapat hadir. Belum lagi peningkatan bilangan di tahun-tahun berikutnya. Belum lagi bilangan mahasiswa/i di universiti-universiti tempatan yang terlibat, walaupun pergerakan mereka agak dibatasi oleh akta dan kekangan-kekangan tempatan.

Hari ini, seperti saya, mereka berada diumur 40 dan 50an dan mempunyai anak-anak yang telah dan mula mengisi institusi-institusi pengajian tinggi pula. Mereka yang terus berada di dalam organisasi-organisasi Islam pada hari ini tidaklah seramai bilangan di atas, bahkan tidak mencapai suku darinya. Seperti makhluk lain, Dakwah Islam juga tunduk kepada Sunnah Alam yang efficiency amalnya sukar mencapai 1.0. 1.0 bermakna kita didik 100 orang dan 100 orang itu juga akan kekal dalam Jalan Dakwah tanpa gugur seorang pun. Kita isi petrol RM1.80 seliter untuk Tenaga Kinetik menggerakkan tayar, tetapi RM1.00 dihabiskan ke Tenaga Haba, RM0.30 ke Tenaga Bunyi dan RM0.50 sahaja ke Tenaga Kinetik (=0.50/1.80=28%). “The amount that you pay is not the amount that you get or expect”, kata pensyarah engineering saya dulu. Carnot Cycle (Thermodymanics) pun seingat saya hanya 0.6 maksimanya. Walaubagaimanapun, sebagai hamba, kita hanya dituntut beramal dan berusaha dalam Dakwah ini, manakala urusan Hidayah dan Istiqamahnya para Duat kita serahkan kepada Allah swt, Tuan punya Dakwah dan Hidayah. Di zaman Rasulullah saw juga ada yang gugur dalam rombongan Hijrah ke Habsyah dan selepas peristiwa Israk Mikraj.

AussieNamun begitu, Dakwah Islam adalah dakwah dikalangan manusia, diasaskan oleh para Rasul yang juga manusia, berpandukan Al-Kitab yang boleh ditelaah oleh manusia, berhadapan dengan kerenah dan serangan manusia. Maka Allah swt menjadikan Dakwah ini tunduk kepada Sunnah Alam yang meliputi peraturan berkaitan dengan tobiah/tabiat Merce 2(nature) manusia. Dakwah dimulai dengan “Iqrak” iaitu ilmu dan kefahaman tentang Dakwah, kemudian Al-Muzammil iaitu aqidah, ibadah dan akhlak, kemudian Markaz Arqam Abi Arqam iaitu ukhuwwah, kesatuan dan Amal Jamaiyy, kemudian Bai’ah Aqabah, Hijrah dan Hudaibiah iaitu politik, negara dan kedaulatan.

Dari penelitian, diantara sebab-sebab yang membawa kepada gugurnya para Pendakwah di jalan Allah di malaysia dari kalangan mahasiswa/i 1980an ialah :

  1. Kurang ilmu dan kefahaman tentang Islam, risalah dan objektif Islam terhadap masyarakat dan umat di dunia dan peranan menyeluruh yang mesti dimainkan oleh mereka. Islam bukan sekadar ingin menjadikan mahasiswa/i kakitangan yang saleh di Malaysia, malah lebih dari itu, sehingga menyebarkan panji-panji Islam ke seluruh dunia. Ini banyak disebabkan oleh bacaan yang terhad dan murabbi yang kurang arif.
  2. Lemah Tarbiyah, terutama jika ia hanya terhad kepada akhlak-akhlak Islam tanpa cuba memahami Seerah Rasulullah dan para Sahabat ra secara total dan menyeluruh, tidak terhad di Mekah dan Madinah, tetapi Dakwah dan tubuh mereka masuk ke benua-benua yang lain. Kesibukan menelaah pelajaran, menyiapkan kerja rumah/assignments, keterbatasan program dan rujukan disamping kelemahan murabbi menyumbang kepada lemahnya tarbiyah. Kewajipan Dakwah dan Amal Jamaiyy dalam mencapai cita-cita Islam kurang dihayati sepenuhnya.
  3. Lemah Ruh dan Ukhuwwah. Tarbiyah bukan sekadar meningkatkan pengetahuan dan fikiran, malah tarbiyah juga mentautkan hati-hati, menghormati, wafak/setia terhadap teman, murabbi dan seumpamanya. Alam pelajar yang rata-rata sebaya serta sering disibukkan dengan sepak terajang politik pelajar, banyak mengalih perhatian, pengalaman dan hati-hati dari sifat-sifat murni di atas. Gaya dan darah daging politik kuat mewarnai ramai personaliti mereka hingga ke hari ini walaupun mereka telah beranak cucu. Keterlibatan sebahagian pelajar dengan fenomena Asyiq (makwe pakwe, chatting dengan ajnabi dsb) melemahkan jiwa dan fokusnya kepada tarbiyah dan peningkatan diri hingga dia tak mampu menghadapi dugaan dan ujian dari Allah untuk meningkatkan darjat para Pendakwah.
  4. Mengutamakan pelajaran melebihi Dakwah, walau setelah lama mengikuti Tarbiyah dan mendidik orang lain pula. Jika ini berlaku sehingga setelah tamat pengajian masing-masing, Karier akan mengambil tempat Pelajaran sebagai nombor satu dalam hidup, manakala Dakwah akan tetap kekal sebagai nombor dua sepanjang hayatnya, dari alam pelajar hingga masuk ke alam kerja. Apa yang sebenar dituntut ialah cemerlang di dalam Pelajaran (kepujian kelas satu, jika boleh) tetapi ia tetap di nombor dua selepas Dakwah. Dakwah tetap bertahta dan menduduki tempat pertama di dalam hati.
  5. Ketidakjelasan Manhaj Taghyir (cara merubah umat kepada Islam). Ini menjadi lebih ketara selepas Home 2Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan mempopularkan manhaj “Islamisasi Ala-Mahathir” selama 16 tahun, sebelum beliau ditumbuk keluar dari UMNO pada tahun 1998. Ramai bekas mahasiswa/i 1980an yang tidak jelas Jalan Dakwah lebih dipengaruhi jalan yang akan mereka lalui dalam hidup hanya dengan merujuk senerio politik Malaysia semata-mata, lebih daripada jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw di dalam Seerah. Ramai beranggapan “Daulah Islam” dicapai bila Anwar di dalam UMNO dulu menjadi Perdana Menteri atau bila Pembangkang di Malaysia mendapat tampuk kuasa, setakat itu pemahaman mereka dari usrah dan bacaan. Tidak kurang ada yang beranggapan “Daulah Islam” ialah apa yang ada sekarang.
  6. Himpitan dunia, terutama apabila mahasiswa/i tamat dan pulang dizaman Depression akhir 1980an dan ramai menganggur lama sebelum mendapat kerja. Secara umumnya, mahasiswa/i di Barat biasa dengan hidup senang dengan biasiswa berbanding pelajar di Timur Tengah ketika itu. Saya merasa hidup dan mencari nafkah di kedua-dua dunia Barat dan Timur Tengah. Di Australia, saya perlu bekerja 2 minggu sahaja dan boleh membeli kereta terpakai yang baik. Himpitan dunia di Tanahair sebaik tamat pengajian adalah satu sentakan mengejut dan mempengaruhi iltizam mereka dengan Dakwah. Umumnya, graduan dari Timur Tengah lebih kental menghadapi himpitan hidup, tetapi ramai kecundang dek godaan dunia dan pangkat.
  7. Godaan dunia, terutama diera Ekonomi Rantau Asia dengan pertumbuhan melebihi 8% sepanjang Home 31990an. Disamping ramai Pendakwah yang disibukkan dan gugur, banyak NGO pula yang terkubur, termasuk AUSIS ketika itu, yang diasaskan oleh generasi saya pada tahun 1988.
  8. Lemah Organisasi dan teman-teman seperjuangan. Tidak jelas jalan dan matlamat Dakwah di Malaysia. Disamping himpitan dan godaan dunia, lebih memburukkan keadaan apabila teman dan badan Islam di Tanahair tidak mampu menunjukkan jalan yang jelas akan posisi dan peranan mahasiswa/i ini apabila mereka pulang ke Tanahair. Tidak ada pengumpulam pengalaman dan keberkatan berlaku di mana-mana badan Dakwah. Sesetengah pimpinan berusaha mencantas pimpinan yang lain, lalu mahasiswa/i yang asalnya ikhlas, hilang tempat pergantungan, menjadi bosan, kecewa dan gugur.

Demikian sedikit catitan pemerhatian sejarah dan realiti, mudah-mudahan bermenfaat kepada para Pendakwah terutama dikalangan mahasiswa/i hari ini di dalam dan di luar negara. Jalan terbaik dalam menghadapi fenomena ini ialah :

  1. Memantapkan tarbiyah golongan mahasiswa/i disegi manhaj, fikrah, murabbi, qadwah, Ukhuwwah, organisasi dan Amal Jamaiyy.
  2. Menyediakan bagi generasi masadepan organisasi yang mantap, berwibawa, jelas kefahaman tentang Risalah Islam dan Manhaj Taghyirnya, tajarrud pimpinan dan ahlinya, kuat Amal Dakwah dan pengorbanannya, utuh Ukhuwwah dan kesatuannya.
  3. Bekerja, berjihad dan berkorban melalui Manhaj Taghyir dan Jalan Dakwah yang sahih tanpa henti ke arah mendidik diri dan masyarakat Islam di sekeliling sehingga berlaku perubahan ke arah Islam yang dicita-citakan.

Kini berbekalkan kefahaman, keikhlasan dan kesungguhan melaksanakan Dakwah, diadun dengan pengalaman dan pengamatan apa yang telah dan sedang berlaku dalam senerio dakwah dan politik Tanahair, kita mengatur langkah dengan lebih berhati-hati, tetapi lebih jelas dan yakin. Kepada Allah jua kita memohon Petunjuk dan TaufiqNya di sepanjang Jalan ini. Ameen.

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com

2 comments:

zaidrais said...

amat menginsafi realiti ini..

apakah manusia d sekeliling kita pada masa ini akan tetap teguh atas jln perjuangan ini pd 10/20/30 tahun akan dtg..?

wallahu 'allam....

Abu Yasir said...

akh zaid, ia banyak bergantung antara diri kita dengan Allah, sejauh mana kita benar2 ikhlas memikul bebanan dakwah ini. Sepanjang perjalanan hidupku melihat beberapa teman yang gugur jua, walaupun dulunya hebat dan lantang dalam pengucapan dan tindakan. Kita perlu senantiasa memohon agar Allah senantiasa menjaga kita dan memandu kita kejalan yang benar....