Sunday, April 25, 2010

KE MANA PERGINYA SIFAT MALU?


Melihat kepada kemelut masyarakat dewasa ini, terutamanya yang melibatkan hubungan sosial yang bebas diantara berlawanan jantina, ia patut dilihat sebagai amat membimbangkan. Bermula dengan budaya seks bebas, pengakuan melakukan hubungan terlarang tanpa rasa menyesal dan insaf serta isu pembuangan anak luar nikah yang saban hari terpampang di dada akhbar. Lebih memeritkan lagi apabila kes-kes seumpama ini melibatkan bangsa Melayu-Islam. Kemelut ini jika dibiarkan berterusan maka akan terkikislah nilai-nilai agama dan budaya dalam bangsa kita.

Sebagaimana yang telah berlaku dalam masyarakat di Barat yang melaungkan hak dan kebebasan individu, maka kes-kes seumpama ini tidak lagi menjadi suatu yang di keji. Rentetan daripada itu, pelbagai cadangan dan idea dikemukankan bagi mengatasi masalah ini termasuklah salah satu diantaranya memperkenalkan mata pelajaran seks di sekolah. Namun, jika dilihat dengan lebih mendalam, idea ini lebih bersifat merawat simptom, bukan melihat kepada masalah pokok atau punca masalah.

Salah satu sudut yang perlu diberi perhatian adalah sikap belia itu sendiri. Kemanakah sikap malu dalam belia menghilang? Secara perlahan dan tanpa disedari, ia dikikis dari jati diri belia itu sendiri. Malu merupakan banteng kukuh dalam diri belia untuk mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam kes-kes sebegini. Sebagaimana sabda Rasulullah daripada ibnu Masud menyatakan ‘Sekiranya kamu tidak malu maka lakukan apa yang kamu suka.’ (HR Bukhari). Hadis ini jelas menyatakan bahawa malu menjadi neraca dan benteng daripada kita melaksanakan apa jua perkara yang kita ingin lakukan. Sebaliknya jika malu itu hilang, maka semua perkara yang mengikut hawa nafsu akan dituruti.


Kita juga perlu ingat bahawa kes-kes sebegini terjadi kerana ceteknya iman seseorang yang menyebabkan mereka tidak takut kepada Allah dan azabNya. Seperti yang dinyatakan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ‘Malu itu sebahagian dari iman’ (HR Bukhari & Muslim). Maka benarlah tatkala perginya sifat malu bermakna kurangnya nilai dan kualiti iman dalam diri belia kita.

Oleh itu, jalan yang terbaik ialah dengan mendekatkan belia-belia kita kepada Islam dengan menerapkan nilai-nilai iman seperti malu supaya belia kita lebih terpandu dalam menangani gejala-gejala yang menjadi penyakit ummat zaman sekarang. Malu itu tidak hadir dengan sendiri tetapi perlu dipupuk dan disemai dalam jiwa belia sejak dari awal lagi. Dulu, masyarakat melayu terkenal dengan sikap malu dan adab sopan namun kini ia kian terhakis.

IBRAHIM B MOHD HASAN

Naib Presiden I

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)