Tuesday, February 2, 2010

[RESOLUSI KOBANNA]


RESOLUSI KONVENSYEN

"PEMIKIRAN HASSAN AL BANNA DALAM MELAKAR AGENDA BANGSA"


Kemelut perbezaan ideologi dan kekeliruan identiti yang melanda bangsa Melayu Muslim, sebagai bangsa teras umat islam di negara ini, memerlukan satu jawaban yang mampu membawa satu penyelesaian yang menyeluruh. Penguasaan ideologi barat yang berasaskan humanisme telah berjaya mencengkam pemikiran bangsa Melayu sehingga mereka sudah tidak yakin dengan kemampuan diri dan terpaksa bergantung kepada bangsa lain. Lebih memburukan lagi apabila bangsa Melayu Muslim ini sanggup berganding bahu dengan bukan islam demi menjatuhkan bangsa Melayu Muslim yang lain. Perebutan kepada kuasa politik menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga terpaksa berkompromi dalam ideologi perjuangan mereka. Dalam masa yang sama kesempatan ini di gunakan sepenuhnya oleh bangsa lain untuk menghina orang Melayu dan menuntut segala hak kesamarataan termasuk dalam isu-isu agama.


Sebagai bangsa majoriti, masa hadapan negara amat bergantung kepada keutuhan bangsa Melayu. Maka dengan itu konvesyen ini telah mengenegahkan pemikiran Imam Hassan Al Banna dalam menentukan metod yang praktikal bagi merubah masyarakat Melayu Muslim untuk menjadi sebuah bangsa yang mulia dan berwibawa. Hasil pembentangan dan perbincangan, konvensyen ini mengemukakan resolusi-resolusi berikut :-


1. Untuk menjayakan agenda Islam yang besar ianya mestilah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang kuat. Oleh itu, selaku kaum majoriti, membangunkan semula bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan utama pemimpin negara.


2. Perpecahan antara golongan Melayu Islamis dan Melayu Nasionalis yang berpunca dari sikap kepartian yang melampau menjadi punca kelemahan bangsa. Oleh itu ia mesti di hentikan segera supaya orang Melayu tidak terpesong dari tujuan asalnya dan terjebak dalam agenda orang lain.

3. Pemikiran humanisme yang meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan akan melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti Kemelayuan dan Ketimurannya serta hilang jatidiri sebagai seorang yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Untuk menyekat pemikiran ini masyarakat Melayu Muslim mesti dikembalikan semula kepada pendekatan keagamaan.


4. Model Fikrah Islam Syumul Al-Banna yang merangkumi aspek akidah, ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya, ekonomi dan undang-undang terbukti telah berjaya menangkis fahaman dan ideologi Barat dan mampu membangunkan kembali jatidiri masyarakat.


5. Usaha mengubah nasib orang Melayu Islam di tanah air sendiri tidak akan membuahkan hasil jika Islam tidak diambil sebagai dasar dan falsafah. Memisahkan Melayu daripada Islam dalam konteks pembangunan sebuah bangsa yang berdaulat tidak akan membawa kesejahteraan, sebaliknya keadaan akan menjadi semakin gawat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial.


6. Kekuatan jiwa merupakan kekuatan utama dalam kebangkitan mana-mana umat di sepanjang sejarah manusia, tanpa mengenepikan ekonomi dan politik. Kesedaran rohani yang kita inginkan ialah hati yang hidup, kebangkitan perasaan dan sentimen yang sebenar, hati baru yang menyala, perasaan yang bergejolak serta roh yang bercita-cita tinggi. Semua ini mesti di tanam di dalam jiwa bangsa Melayu Muslim.

7. Dalam menilai dan menentukan sikap terhadap sesuatu isu, masyarakat Melayu Muslim mesti berpandu kepada Maqasid Syarak dengan hujjah dari nas yang sahih bukan berasaskan kepentingan kuasa politik.


8. Tahaluf muslim dengan non muslim tidak boleh membawa kepada wala’ kepada non muslim apatah lagi untuk membantu mereka bagi menjatuhkan muslim lain. Ia hanya di benarkan apabila non muslim memenuhi syarat yang di tentukan syarak.

Tuesday, January 19, 2010

>>> KOBANNA

Yang pertama seumpamanya di Malaysia,


Saturday, January 16, 2010

Mursyid Am VIII IKHWAN MUSLIMIN, Dr. Mohd Badi’

Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy, Mursyid Am Ke Lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Pada pukul 11.00 am (5.00 pm waktu Malaysia) tadi, Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am ke lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928. Dr Muhammad Badi’ menggantikan Mursyid Am Ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke 8 dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir dan anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan 3 orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Logo jemaah Ikhwan Muslimin.

Dr Muhammad Badi’ mendapat ijazah Sarjana Muda (B. Sc.) Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan) dari Universiti Kaherah pada tahun 1965, ijazah Sarjana Vet Sc tahun 1977 dari Universiti Az-Zaqaziq, Ph.D Vet. Sc tahun 1979 dari Universiti Az-Zaqaziq, Professor Madya Vet. Sc. Di Universiti Az-Zaqaziq tahun 1983, Professor Vet. Sc. Di Universiti Kaherah cawangan Bani Suef tahun 1987, ketua Jabatan Patologi, Fakulti Vet. Sc. Tahun 1990. Beliau telah menyelia 15 thesis Masters dan 12 thesis Ph.D dan berpuluh kertas penyelidikan dalam bidang Kedoktoran Haiwan (Vet. Sc.). Sekarang beliau bertugas sebagai Professor di Jabatan Patologi, Fakulti Sains Veterinar di Universiti Bani Suef, selatan Mesir.

Dalam arena Dakwah Ikhwan Muslimin, beliau menjadi anggota Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1975, Masul Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1977, Masul Tarbiyah di Ar-Rabitah, Yaman (1982 – 1986), anggota Maktab Idari di Bani Suef (1986), Masul Maktab Idari di Bani Suef (1990), Masul Tarbiyah Mesir (1994), anggota Maktab Irsyad (sejak 1996) dan anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Antarabangsa (2007) dan Penyelia Biro Tarbiyah (2007).

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Beliau bersama-sama sebahagian pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk ahli tafsir Fi Zilal Al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb dihadap ke Mahkamah Tentera pada tahun 1965 dimana Sayyid Qutd dijaatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala beliau dipenjara 15 tahun. Selepas 9 tahu, beliau dibebaskan pada tahun 1974. Pada 1998, beliau dipenjara selama 75 hari atas isu “Persatuan Ad-Dakwah Al-Islamiah”. Pada tahun 1999, Mahkamah Tentera menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Pada tahun 2008, ketika musim Pilihanraya Dewan Undangan Negeri, beliau dipenjara selama sebulan.

Pengasas dan Mursyid Am Pertama jemaah Ikhwan Muslimin, Imam Hasan Al-Banna (1906 – 1949).

Nama Dr Muhammad Badi’ tersiar dalam Ensaiklopedia Ilmiah Arab dikalangan 100 tokoh Arab yang diterbitkan oleh Badan Penerangan Mesir tahun 1999.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau TaufiqNya dalam memimpin jemaah Ikhwan Muslimin yang menjadi salah satu tempat harapan ummah Islamiyah dalam mengembalikan identity Islam kedalam diri dan masyarakat Islam, berhadapan dengan penentangan dan projek gergasi Amerika, Yahudi dan barat untuk menguasai dunia dan menghancurkan Islam. “Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan akan meneguhkan pendirian dan kedudukan kamu” (Al-Quran).

Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

Friday, January 15, 2010

Perubahan fasa...

Perubahan fasa dalam kehidupan seseorang merupakan satu tempoh yang penuh dengan cabaran yang tidak terduga. Tahun ini merupakan tahun permulaan dalam bidang karierku, pasti berbeza dengan tempoh pembelajaran selama 7 tahun di ipt, pasti ku rindui suasana menimba ilmu itu. Perubahan fasa pembelajaran kepada fasa kerjaya perlu di teliti agar apa yang aspirasi dan agenda sebagai seorang pelajar tidak terkubur begitu sahaja. Sebagai seorang yg menerima scholarship drpd Sime Darby, aku terpaksa akur dengan kontrak yang telah kami persetujui, khidmat selama lima tahun atas balasan terhadap 5 semester penajaan. Namun, menanti panggilan untuk 'job placement' merupakan dugaan yang pertama.

"Penanti itu satu penyeksaan"

Tahun ni jugak akan memperlihatkan perubahan fasa daripada gelaran 'suami' kepada 'ayah', dengan izin Allah jua. Makin besar jua tanggungjawab yang harus dipikul. Menerima anugerah cahaya mata bererti menerima rezeki dan tanggungjawab. Gagal bersyukur atas rezeki yang dikurniakan dan gagal melaksanakan tanggungjawab bererti menempah malapetaka. Rezeki mendapat seorang isteri yang solehah pun belum tersyukuri lagi. Allah.... terasa berat utk aku menghadapi perubahan fasa ini.....

Itu belum cerita tentang mengidamkan keluarga "mawaddah wa rahmah" lagi....

Kini adikku pula memecahkan rekod dengan melangsungkan rumah tangga pada 15 feb ini. Dalam umur 23 tahun, fasa itu berlaku tatkala dia masih melanjutkan pelajaran di Mesir-medic. Mgkn gen-Y akan melalui fasa ini dengan begitu pantas. Namun Alhamdulillah semuanya mengikut kaedah Baitul Muslim yang betul.

Beberapa tips buat adikku:
  1. Komunikasi yg effektif- kerana kita bukanlah daripada golongan yang bercinta dan berkasih sayang sebelum bernikah (atau berkahwin sblm bernikah) maka masa inilah peluang untuk kita bermadu mesra, berkasih sayang dan meluahkan perasaan. Ketelusan itu penting dan berkomunikasi dengan baik dapat membina kefahaman yg baik antara pasangan. Jangan simpan apa yg terpendam di dalam hati atau persepsi dalam minda tetapi luahkan ia dengan cara yg baik, sopan dan berhikmah.
  2. Bertolak ansur- pasti setiap pasangan mempunyai kehendak dan minat masing2 sebelum berkahwin. kadang kala berlaku 'clash of interest' maka di sini lah kebijaksanaan dan komunikasi memainkan peranan supaya kita dapat bertolak ansur. Kadang kala kita terpaksa korbankan main bola di pagi ahad sebab nak teman isteri beli belah di pasar, kene tunggu isteri habis sembang dengan member2 dsb.
  3. Hubungan dengan Allah- kerana Allah yg memegang hati manusia dan Dia jua lah yg mempertemukan kita, maka sekiranya kita mahu hubungan ini kekal maka kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah. Syukurilah ni'mat mendapat isteri dengan dengan bermunajat kepada Allah dan tika menghadapi masalah maka adukanlah kepada Allah, insyaAllah segalanya menjadi muda....
Ucapan selamat maju jaya kepada pasangan muda yang berjaya menempuh fasa dengan keredhaan Allah...

Monday, January 4, 2010

Allah tuhan orang Islam sahaja?


Kes akhbar mingguan kristian katholik-Herald-The Catholic Weekly yang menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka dalam akhbar tersebut mendapat respon yang hangat daripada masyarakat Islam. Baik daripada pimpinan rakyatnya atau orang biasa, institusi kerajaan mahupun NGO, orang Islam ataupun non-muslim, para alim ulama' mahupun orang yang jahil agama...

Satu respon positif yang menunjukkan bahawa Ummat Islam di Malaysia ini masih lagi mempunyai deria sensitiviti pada agama mereka, peka dan responsif terhadap apa-apa isu yang boleh menggugat dan mengancam agama mereka. Tak kisah lah samada yang menyokong keputusan mahkamah tinggi ataupun sebaliknya. Seperti yang telah dijangka ramai yang bersungguh membantah sehingga berdemo, mengutuskan memorandum dan mengecam kepetusan tersebut. Namun ada juga segelintir pihak yang mempertahankan keputusan yang membenarkan akhbar Herald terus menggunakan kalimah Allah bagi merujuk tuhan agama kristian.


IRONINYA
, tidak ramai daripada mereka yang bersemangat tatkala perkara yang LEBIH MERBAHAYA tetapi TERSEMBUNYI yang terus menerus menyerang dan menodai ummat Islam. Berapa banyak kes murtad yang mendapat perhatian para menteri dan ahli politik, NGO atau institusi mana yang mengambil berat terhadap budaya hiburan Hedonism yang meracuni pemikiran ummat Islam. Berapa ramai ummat Islam yang sensitif dan berdemo menentang kepincangan black metal dan kehilangan dara gadis-gadis Islam yang terus dinodai saban hari. ??????

Apakah kita hanya responsif kepada perkara2 semasa yang dapat dilihat mata tetapi membisu dan menutup mata pada agenda terselindung yang menyelinap dan menodai ummat Islam secara terancang. Lihat sahaja pada sambutan tahun baru, timbulkah isu? Kini Kelantan di bawah naugan Tok Guru Nik Aziz menghadapi tamparan hebat apabila kejadian jenayah rogol meningkat sebanyak 25% belum dikira kejadian yang tidak dilaporkan.


Hikmah daripada kes penggunaan kalimah Allah ini ialah bahawa ummat Islam perlu kembali kepada 'Ajaran Islam' yang lebih syumul. Sekiranya ummat Islam terus kuat dengan pegangan agama maka tiada siapa yang berani mempertikai dan mempermain2kan kita. Usaha untuk menyedar dan mempersiapkan ummat Islam perlu dilaksanakan secara berterusan dan konsisten, bukan hanya apabila timbul isu atau rasa diancam.


Berkenaan dengan isu penggunaan kalimah Allah ini merupakan satu perkara ijtihadi, secara umumnya ia adalah harus kerana Allah juga merupakan tuhan untuk semua manusia

"Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: 'Siapakah yang menciptakan mereka?' sudah tentu mereka akan menjawab: 'Allah!'. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!' (al-Zukhruf : 87-88)."


Di sini letaknya kesungguhan bagaimana pendakwah Islam perlu mengambil kesempatan untuk berdakwah kepada orang kristian dengan cuba mencari persamaan dengan agama mereka. Teringat kata2 Shah Kirit Kakulal Govindji ketika mengikuti seminar 'Comparative Religion', bahawa cara mudah untuk mendekati dan rapat dengan mad'u kita ialah dengan mencari kesepakatan dan kesamaan antara mereka:

Ali-Imran [64]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".


Namun disebabkan kelemahan ummat Islam itu sendiri dan kecuaian mereka untuk berdakwah kepada non-muslim telah menyebabkan kesamaan ini menjadi ancaman kepada kita walhal sekiranya kita manfaatkan situasi ini pasti ia akan menjadi advantage kepada kita.

Wallahu A'lam