Monday, February 3, 2014

Rakyat menjadi Mangsa ’Drama’ politik PR


Saya mengambil masa untuk menanti satu demi satu babak dalam drama yang diarahkan oleh beberapa ‘strategis’ PKR. Bermula dengan penyisihan Azmin daripada PKNS, perletakan jawatan ADUN Kajang dan kenyataan media ‘bersama’ oleh Pakatan Rakyat yang kemudiannya masing-masing mengaku tidak dibincangkan awal mengenai  perancangan tersebut, drama kali ini nampaknya berjaya mencuri tumpuan media berbanding drama ‘16 September 2008’ yang tidak mendapat ‘box office’. Tidak lupa juga babak permohonan maaf secara terbuka oleh Rafizi Ramli kepada masyarakat yang melakonkan watak ‘polis baik’ demi meraih simpati penonton.

Babak yang paling ‘stereotype’ dalam penghasilan drama ini ialah bilamana Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS beriya-iya mempersoal dan mengutuk tindakan tersebut tetapi kemudiannya ‘memahami’ dan menerima perancangan PKR setelah orang nombor dua bersuara. Babak dilakukan untuk mengelakkan peminat setia mereka mempertikaikan keputusan menerima sebahagian daripada drama tersebut yang mungkin tidak masuk akal. Mungkin mereka sudah lupa drama 16 September 2008 tiada ‘ending’ tetapi masih menaruh kepercayaan kepada pengarah yang sama. Mereka yang masih ingat drama tersebut mesti tidak ingin dipatuk ular dua kali dilubang yang sama. Bezanya kali ini ialah penonton dapat membaca bahawa ‘ending’ drama ialah Amwar menjadi Menteri Besar Selangor.

Persoalannya, mengapa perlu Anwar menjadi sebahagian daripada ADUN Selangor? Bukankah  beliau merupakan penasihat ekonomi negeri tersebut? Nampaknya sebagai penasihat tidak banyak yang beliau boleh lakukan kerana bidang kuasanya terhad berbanding sebagai MB. Ini menunjukkan bahawa Anwar bertanding bukannya untuk menjadi ADUN tetapi untuk menjadi MB.

BN pula tersenyum lebar kerana boleh mensensasikan isu ini untuk menutup segala kelemahan mereka baik dari sudut kenaikan harga kos barangan dan mempertahankan Islam dalam isu Kalimah Allah dan Evangalis. Hakikatnya ‘win-win situation’ dan dikongsi oleh PR mahupun BN cuba mengaburi mata masyarakat daripada isu sebenar realiti semasa yang berlaku dalam negara dan ini amat merugikan masyarakat.



Umumnya, masyarakat melihat urus tadbir yang cemerlang di bawah Tan Sri Khalid dan perkara ini tidak dapat dinafikan oleh Anwar mahupun BN. Namun demi kepentingan politik, pengurusan Tan Sri Khalid akan bertukar kepada seorang ahli politik yang akan melaksanakan apa sahaja demi merealisasikan impian besar untuk menjadi PM. Beliau (ahli politik) memang pandai memanipulasi kelemahan ruang demokrasi yang sedia ada untuk mencapai cita-cita beliau termasuklah memancing ahli parlimen untuk ‘lompat parti’ dalam drama 16 September 2008 tetapi berjaya digagalkan oleh BN yang telah menghidu lebih awal. Sekali lagi beliau memanipulasi demokrasi yang konon-kononya beliau perjuangkan dengan mengarahkan ADUN yang dilantik oleh masyarakat Kajang dan tiada masalah perkhidmatan demi percaturan politik biarpun ia merugikan rakyat.

Hakikatnya rakyat sentiasa memerhati perjalanan politik dalam negara. Jika inilah yang politik yang mementingkan taasub kepartian terus dihidangkan kepada rakyat maka ia cukup membosankan dan merendahkan daya pemikiran masyarakat. Kita tidak mahu melihat politik kangkung disuapkan kepada kepada masyarakat demi merealisasikan perangcangan dua-tiga orang dalam Negara. Jika beriya-iya Anwar ingin menjadi PM maka tunggu sahajalah PRU 14 dan tidak perlu menghasilkan pelbagai drama yang merugikan rakyat. Parti politik yang telah menang pada PRU 13 lepas sepatutnya fokus pada pembangunan negara dan berkhidmat pada rakyat yang telah mengundi mereka bukannya mereka cipta sandiwara dan drama. Akhirnya drama ini tidak sedikit pun menguntungkan masyarakat, negara dan juga Islam.