Friday, June 20, 2014

MENUNAIKAN JANJI ALLAH


Respon saya terhadap pendakwaan ke atas Ust Abdullah Zaik di bawah akta hasutan. Sesungguhnya pendakwaan di mahkamah hanyalah satu permulaan. Saya yakin jika kita berada di jalan yang benar dan terus berhadapan dengan musuh, nescaya dugaan yang lebih besar bakal menimpa termasuk ancaman terhadap nyawa seperti mana janji Allah;

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh..." (9:111)

Jadi saya menyeru kepada aktivis dakwah terutamanya ahli PEMBINA untuk tidak gentar dengan kebatilan dan taghut berbentuk sesumpah jahiliyah yang menggunakan segala kekuatan dan alat yang mereka ada. Hadapilah dengan keberanian dan keyakinan kerana mereka terlupa bahawa bersama kita ialah Allah yang Maha Kuasa jika kita terus berada di jalan yang benar.

"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (4:104)

Oleh itu saya menyeru sempena kedatangan Ramadhan ini supaya kita semua tingkatkan ketaqwaan dan keimanan kerana ia merupakan asas bekalan kita untuk berhadapan dengan musuh Allah ini. Keimanan bukan hanya berada di atas tikar sejadah tetapi manifestasi daripada keimanan itu ialah keyakinan terhadap kemenangan atau syurga Allah tatkala kaki ini melangkah untuk memperjuangkan agenda Islam dan Syariah Allah.

 " Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (3.139)

Jadi bagi yang merasakan bahawa pendakwaan terhadap Ust Abdullah Zaik merupakan suatu ugutan atau ketakutan kepada kami maka mereka melakukan kesilapan yang besar kerana tarbiyah ISMA telah mengajar kami, barisan kepimpinan muda ISMA yang ternanti-nanti saat menunaikan janji Allah itu.

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (33:23)

Saya petik kata-kata ustaz Muhammad Fauzi Asmuni bahawa dakwah ini berbaloi untuk seluruh jiwa dikorbankan.

Monday, February 3, 2014

Rakyat menjadi Mangsa ’Drama’ politik PR


Saya mengambil masa untuk menanti satu demi satu babak dalam drama yang diarahkan oleh beberapa ‘strategis’ PKR. Bermula dengan penyisihan Azmin daripada PKNS, perletakan jawatan ADUN Kajang dan kenyataan media ‘bersama’ oleh Pakatan Rakyat yang kemudiannya masing-masing mengaku tidak dibincangkan awal mengenai  perancangan tersebut, drama kali ini nampaknya berjaya mencuri tumpuan media berbanding drama ‘16 September 2008’ yang tidak mendapat ‘box office’. Tidak lupa juga babak permohonan maaf secara terbuka oleh Rafizi Ramli kepada masyarakat yang melakonkan watak ‘polis baik’ demi meraih simpati penonton.

Babak yang paling ‘stereotype’ dalam penghasilan drama ini ialah bilamana Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS beriya-iya mempersoal dan mengutuk tindakan tersebut tetapi kemudiannya ‘memahami’ dan menerima perancangan PKR setelah orang nombor dua bersuara. Babak dilakukan untuk mengelakkan peminat setia mereka mempertikaikan keputusan menerima sebahagian daripada drama tersebut yang mungkin tidak masuk akal. Mungkin mereka sudah lupa drama 16 September 2008 tiada ‘ending’ tetapi masih menaruh kepercayaan kepada pengarah yang sama. Mereka yang masih ingat drama tersebut mesti tidak ingin dipatuk ular dua kali dilubang yang sama. Bezanya kali ini ialah penonton dapat membaca bahawa ‘ending’ drama ialah Amwar menjadi Menteri Besar Selangor.

Persoalannya, mengapa perlu Anwar menjadi sebahagian daripada ADUN Selangor? Bukankah  beliau merupakan penasihat ekonomi negeri tersebut? Nampaknya sebagai penasihat tidak banyak yang beliau boleh lakukan kerana bidang kuasanya terhad berbanding sebagai MB. Ini menunjukkan bahawa Anwar bertanding bukannya untuk menjadi ADUN tetapi untuk menjadi MB.

BN pula tersenyum lebar kerana boleh mensensasikan isu ini untuk menutup segala kelemahan mereka baik dari sudut kenaikan harga kos barangan dan mempertahankan Islam dalam isu Kalimah Allah dan Evangalis. Hakikatnya ‘win-win situation’ dan dikongsi oleh PR mahupun BN cuba mengaburi mata masyarakat daripada isu sebenar realiti semasa yang berlaku dalam negara dan ini amat merugikan masyarakat.



Umumnya, masyarakat melihat urus tadbir yang cemerlang di bawah Tan Sri Khalid dan perkara ini tidak dapat dinafikan oleh Anwar mahupun BN. Namun demi kepentingan politik, pengurusan Tan Sri Khalid akan bertukar kepada seorang ahli politik yang akan melaksanakan apa sahaja demi merealisasikan impian besar untuk menjadi PM. Beliau (ahli politik) memang pandai memanipulasi kelemahan ruang demokrasi yang sedia ada untuk mencapai cita-cita beliau termasuklah memancing ahli parlimen untuk ‘lompat parti’ dalam drama 16 September 2008 tetapi berjaya digagalkan oleh BN yang telah menghidu lebih awal. Sekali lagi beliau memanipulasi demokrasi yang konon-kononya beliau perjuangkan dengan mengarahkan ADUN yang dilantik oleh masyarakat Kajang dan tiada masalah perkhidmatan demi percaturan politik biarpun ia merugikan rakyat.

Hakikatnya rakyat sentiasa memerhati perjalanan politik dalam negara. Jika inilah yang politik yang mementingkan taasub kepartian terus dihidangkan kepada rakyat maka ia cukup membosankan dan merendahkan daya pemikiran masyarakat. Kita tidak mahu melihat politik kangkung disuapkan kepada kepada masyarakat demi merealisasikan perangcangan dua-tiga orang dalam Negara. Jika beriya-iya Anwar ingin menjadi PM maka tunggu sahajalah PRU 14 dan tidak perlu menghasilkan pelbagai drama yang merugikan rakyat. Parti politik yang telah menang pada PRU 13 lepas sepatutnya fokus pada pembangunan negara dan berkhidmat pada rakyat yang telah mengundi mereka bukannya mereka cipta sandiwara dan drama. Akhirnya drama ini tidak sedikit pun menguntungkan masyarakat, negara dan juga Islam. 

Monday, July 12, 2010

Pertimbangan ibu bapa dan Kemahuan anak2

Artikel ini di ambil drpd blog Presiden ISMA, Ust Abdullah Zaik

Pada pandangan saya urusan dakwah adalah sebahagian dari urusan agama yang tidak boleh dipaksakan, kerana setiap orang bertanggungjawab penuh atas pilihannya itu. Allah berfirman maksudnya; “tiada paksaan dalam agama”, ” sesaorang itu tidak menanggung yang dilakukan oleh orang lain.

Dalam istilah lain disebut sebagai “tanggungjawab individu” atau “masuliah fardiah”. Oleh itu tidak boleh di gunakan uslub “turn over” dalam dakwah dengan berbagai uslub seperti tekanan, pujukan, desakan, marah, belai dan sebagainya atau menggunakan pengaruh kuasa atau sentimen taat ibu bapa.

Sesaorang tidak boleh pilih cara beragama atau pendapat dalam agama berdasar pengaruh luar yang bukan keyakinannya sendiri sedang dia sudah berakal dan baligh. Perhatikan firman Allah yang bermaksud; ” maka berilah wahai Mohamad akan peringatan, dan kamu tidak sekali kali menguasai pemikiran mereka”. Allah berfirman kepada kepada Nabi Musa dan Harun, “pergilah kamu berdua kepada Firaun dan katakan kepada mereka kata-kata yang lembut, mudah mudahan ia ambil peringatan”.

Sebagaimana kita tidak boleh memaksa sesaorang mengikut apa-apa pendapat begitu juga tidak boleh mengahalang ia mengikut mana-mana pendapat yang ia yakini baik dan benar untuk agamanya.

Islam adalah agama yang membenarkan perbezaan dan kepelbagaian, tindakan memaksa memaksa sesaorang mengikuti hanya satu pandangan tertentu adalah satu sikap berlebihan “ta’assuf” dan menyukar-nyukarkan keadaan.

Pernah ada cadangan untuk disatukan bacaan quran tetapi ditolak oleh sydina Uthman dan pernah dicadangkan supaya Muatta’ menjadi satu-satunya sumbar rujukan tetapi ditolak oleh Imam Malik.

Bagi saya tindakan ibu bapa yang memaksa anak-anak untuk ikut jamaahnya dan melakukan berbagai uslub “turne over” tidak sesuai sama sekali dengan sikap Islam yang luas dan bertolak ansur.

Anak yang akil baligh dan faham hukum agama boleh ikut pendirian sendiri, kerana tiada siapa yang akan menanggung akibat salah pilihannya kalau dia tersilap pilih – termasuk ibu bapanya- selain dirinya sendiri. wallahu aklam

Mari membaca




Mempromosikan buku2 bercorakkan bacaan Islami. Sila lawat website tertera....

Sunday, May 30, 2010

Dilema si pemakai kopiah


Bulan lepas saya berkesempatan mendengar satu kuliah tasauf selepas maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz pondok di Selangor. Kali pertama menghadiri kuliah ini membuatkan saya lebih peka dan memberi penuh perhatian. Saya mendengar dengan tenang sehinggalah ustaz tersebut berkata 'orang yang tidak memakai kopiah ni merupakan orang fasiq dan mereka ini tidak diterima kesaksiannya'. Tiada masalah dengan frasa kedua tetapi agak terkejut dengan frasa pertama. Beliau menambah lagi, 'tak patutla kalau jadi ajk masjid, pergi masjid pakai kopiah tapi keluar masjid cabut kopiah'. Agak 'syadid' jgk ustaz ni.

Dalam fikiran saya, apakah hukum memakai kopiah sehingga meninggalkannya menjadi fasik. Sudahla saya ni merupakan orang yang melazimi tidak memakai kopiah. Dan ramai lagi orang Islam di Malaysia yang mempunyai ilmu dan iman, para ustaz2, ilmuan2 Islam, pensyarah2 kuliah syariah yang tidak memakai kopiah. Fasikkah mereka? Fasikkah saya? Sekiranya memakai kopiah hukumnya sunat, maka meninggalkannya tidak dapat pahala dan tidak juga dosa. Jadi bagaimana boleh jadi fasiq?

Ternyata apabila membuka sebuah kitab berjudul 'sirus salikin', terdapat satu kenyataan yang menyebut bahawa 'tidak diterima saksi orang yang fasiq yakni yang berjalan di pasar tanapa menutup kepala'..... Ternyata ada tercoret dalam buku tersebut....

Alhamdulillah, tak lama selepas itu saya mendengar radio IKIM membahaskan 'Al-Adah Muhakkamah' salah satu dalam kaedah fikih yang bermaksud 'adat dijadikan hukum'. Ustaz tersebut membawa contoh yang sama dalam kitab 'sirus salikin' tersebut. Namun dikupas lagi dengan menjadi kaedah fikih sebagai basis. Pada zaman dahulu, orang memakai penutup kepala untuk membezakan kemuliaan antara hamba dan orang merdeka. Oleh itu, adat pada waktu itu ialah memakai penutup kepala kecuali hamba. Maka dijadikan hukum bahawa orang yang tidak memakai penutup kepala (hamba) tidak diterima kesaksiannya.

Maka kini baru saya faham sebab tulisan dalam kitab tersebut. Amat bahaya sekiranya kita salah intrepretasi sesuatu penulisan atau hukum sebelum tahu sebab atau perbahasannya. Dan itu jugalah perbezaannya antara orang yang berilmu dengan orang yang hanya mengikut tanpa ilmu.....

Allahua'lam...

Perhimpunan Hari Belia Negara 2010


Pertama-tamanya saya mengucapkan terima Kasih dah tahniah kepada ahli PEMBINA yang telah menyertai Perhimpunan Hari Belia 2010 di Dewan Plenari, PICC Purajaya. Ini merupakan kali pertama PEMBINA menyertai sambutan perhimpunan raksasa belia dan ini telah memberi pendedahan serta pengalaman yang bermanfaat bagi kita. Sebagai sebuah pertubuhan belia, inilah medan kita dan inilah belia-belia yang bakal menjadi rakan kita dalam menggerakkan aktivisma belia. Di sini jualah kita melihat pelbagai reaksi, gelagat dan semangat belia yang berkobar-kobar yang hadir daripada pelbagai persatuan dan negeri.
PEMBINA tidak mahu ketinggalan dalam menyatakan kepentingan peranan dalam pembentukan masa hadapan sesebuah negara. Jika mahu melihat negara pada masa akan datang, lihatlah pada belia sekarang. Peruntukan tambahan yang diberikan oleh Perdana Menteri sebanyak RM 10 juta sebagai hadiah sempena Hari Belia membuktikan bahawa betapa pentingnya peranan belia sehingga mendapat perhatian khusus daripada pemimpin negara. Oleh sebab itu, amat penting bagi kita untuk mengambil peluang ini menggerakkan aktivisma belia dengan peruntukan yang telah di berikan oleh kerajaan.
Mahasiswa merupakan golongan cendiakawan yang mempunyai potensi, daya saing dan kreativiti yang tinggi dikalangan belia. Golongan ini juga merupakan harapan yang tinggi untuk memimpin belia di masa akan datang. Sebab itu memacu aktivisma mahasiswa amat penting kerana mereka ini pada satu masa dahulu mempunyai suara dalam menangani isu masyarakat negara dan bukan hanya menyerahkan masa depan negara kepada kepimpinan politik.
Namun yang merisaukan ialah apabila mahasiswa masa kini lebih bersifat pasif, lebih tertumpu menjaga ‘pointer’ menjadi ulat buku siang dan malam, dan sesetengahnya terjebak dengan budaya hiburan melampau. Melayan bermacam-macam jenis ‘movie’ yang bertimbun-timbun sehinggalah ke ‘PC Games’ yang tak habis-habis. Semua ini membunuh semangat kepimpinan belia yang seharusnya menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Oleh itu, mari kita mengajak para belia bersama-sama dengan kita untuk memacu aktivisma mahasiswa di kampus dan yang sudah bergelar siswazah. Kita tidak mahu potensi yang ada pada belia mati setelah graduasi.
Belia kreatif pemacu pembanguna negara!

Ibrahim B Mohd Hasan
Naib Presiden 1
PEMBINA

Sunday, April 25, 2010

KE MANA PERGINYA SIFAT MALU?


Melihat kepada kemelut masyarakat dewasa ini, terutamanya yang melibatkan hubungan sosial yang bebas diantara berlawanan jantina, ia patut dilihat sebagai amat membimbangkan. Bermula dengan budaya seks bebas, pengakuan melakukan hubungan terlarang tanpa rasa menyesal dan insaf serta isu pembuangan anak luar nikah yang saban hari terpampang di dada akhbar. Lebih memeritkan lagi apabila kes-kes seumpama ini melibatkan bangsa Melayu-Islam. Kemelut ini jika dibiarkan berterusan maka akan terkikislah nilai-nilai agama dan budaya dalam bangsa kita.

Sebagaimana yang telah berlaku dalam masyarakat di Barat yang melaungkan hak dan kebebasan individu, maka kes-kes seumpama ini tidak lagi menjadi suatu yang di keji. Rentetan daripada itu, pelbagai cadangan dan idea dikemukankan bagi mengatasi masalah ini termasuklah salah satu diantaranya memperkenalkan mata pelajaran seks di sekolah. Namun, jika dilihat dengan lebih mendalam, idea ini lebih bersifat merawat simptom, bukan melihat kepada masalah pokok atau punca masalah.

Salah satu sudut yang perlu diberi perhatian adalah sikap belia itu sendiri. Kemanakah sikap malu dalam belia menghilang? Secara perlahan dan tanpa disedari, ia dikikis dari jati diri belia itu sendiri. Malu merupakan banteng kukuh dalam diri belia untuk mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam kes-kes sebegini. Sebagaimana sabda Rasulullah daripada ibnu Masud menyatakan ‘Sekiranya kamu tidak malu maka lakukan apa yang kamu suka.’ (HR Bukhari). Hadis ini jelas menyatakan bahawa malu menjadi neraca dan benteng daripada kita melaksanakan apa jua perkara yang kita ingin lakukan. Sebaliknya jika malu itu hilang, maka semua perkara yang mengikut hawa nafsu akan dituruti.


Kita juga perlu ingat bahawa kes-kes sebegini terjadi kerana ceteknya iman seseorang yang menyebabkan mereka tidak takut kepada Allah dan azabNya. Seperti yang dinyatakan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ‘Malu itu sebahagian dari iman’ (HR Bukhari & Muslim). Maka benarlah tatkala perginya sifat malu bermakna kurangnya nilai dan kualiti iman dalam diri belia kita.

Oleh itu, jalan yang terbaik ialah dengan mendekatkan belia-belia kita kepada Islam dengan menerapkan nilai-nilai iman seperti malu supaya belia kita lebih terpandu dalam menangani gejala-gejala yang menjadi penyakit ummat zaman sekarang. Malu itu tidak hadir dengan sendiri tetapi perlu dipupuk dan disemai dalam jiwa belia sejak dari awal lagi. Dulu, masyarakat melayu terkenal dengan sikap malu dan adab sopan namun kini ia kian terhakis.

IBRAHIM B MOHD HASAN

Naib Presiden I

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)