Friday, June 20, 2014

MENUNAIKAN JANJI ALLAH


Respon saya terhadap pendakwaan ke atas Ust Abdullah Zaik di bawah akta hasutan. Sesungguhnya pendakwaan di mahkamah hanyalah satu permulaan. Saya yakin jika kita berada di jalan yang benar dan terus berhadapan dengan musuh, nescaya dugaan yang lebih besar bakal menimpa termasuk ancaman terhadap nyawa seperti mana janji Allah;

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh..." (9:111)

Jadi saya menyeru kepada aktivis dakwah terutamanya ahli PEMBINA untuk tidak gentar dengan kebatilan dan taghut berbentuk sesumpah jahiliyah yang menggunakan segala kekuatan dan alat yang mereka ada. Hadapilah dengan keberanian dan keyakinan kerana mereka terlupa bahawa bersama kita ialah Allah yang Maha Kuasa jika kita terus berada di jalan yang benar.

"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (4:104)

Oleh itu saya menyeru sempena kedatangan Ramadhan ini supaya kita semua tingkatkan ketaqwaan dan keimanan kerana ia merupakan asas bekalan kita untuk berhadapan dengan musuh Allah ini. Keimanan bukan hanya berada di atas tikar sejadah tetapi manifestasi daripada keimanan itu ialah keyakinan terhadap kemenangan atau syurga Allah tatkala kaki ini melangkah untuk memperjuangkan agenda Islam dan Syariah Allah.

 " Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (3.139)

Jadi bagi yang merasakan bahawa pendakwaan terhadap Ust Abdullah Zaik merupakan suatu ugutan atau ketakutan kepada kami maka mereka melakukan kesilapan yang besar kerana tarbiyah ISMA telah mengajar kami, barisan kepimpinan muda ISMA yang ternanti-nanti saat menunaikan janji Allah itu.

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (33:23)

Saya petik kata-kata ustaz Muhammad Fauzi Asmuni bahawa dakwah ini berbaloi untuk seluruh jiwa dikorbankan.